Tutorial #4 : Memilih tema yang terbaik untuk blog anda

Apa sahaja yang bermain di fikiran anda itulah yang anda boleh kongsi. Adakah ianya berkenaan dengan jiran anda yang comel itu, haiwan peliharaan anda yang manja atau sekadar perkongsian ilmiah.

 

Adalah lebih afdal untuk anda fokus kepada satu tema berbanding mencampuradukkan dengan pelbagai tema. Ini kerana untuk jangka masa yang panjang ianya akan lebih memberi manfaat kepada anda dan supaya anda tidak lari fokus.

 

Ada 3 kelebihan jika anda fokus kepada satu tema untuk blog anda.

 

Pertama, ia akan menarik minat pembaca dan pengikut yang setia kepada inti pati yang anda masukkan dalam blog anda. Jika mereka meminati apa yang anda kongsi mereka akan langgan kepada emel anda atau menandakan blog anda dalam pelayar mereka ( chrome, firefox, opera ) melalui RSS Feed ( lanjut tentang hal ini dalam tutorial akan datang )

 

Ke-2, anda akan mudah untuk menarik minat pengiklan yang mungkin melihat blog anda sebagai sumber yang berpotensi untuk mendedahkan produk atau servis mereka memandangkan anda mempunyai jumlah pelawat dan peminat yang berkemungkinan besar meminati apa yang pengiklan itu tawarkan. Sebagai contoh, sekiranya tema blog anda tentang kecantikan atau kesihatan anda bakal menarik minat pengiklan yang terdiri daripada syarikat produk kesihatan atau butik kecantikan, ini selagi mana anda mempunyai blog yang aktif serta jumlah pengikut yang setia kepada anda.

 

Ke-3, dengan memiliki tema blog yang fokus anda bakal menjadikan diri anda seorang yang pakar atau berkredibiliti dalam bidang anda. Setiap input yang anda bagi samada artikel, audio atau video akan menambahkan keyakinan pengikut anda bahawa anda ini seorang yang boleh dipercayai dan bonus kepada anda sekiranya anda betul-betul dapat membantu mereka melalui tip yang anda bagi, ini akan terus melonjakkan kepercayaan serta kesetiaan mereka kepada anda.

 

Jadi apakah topik atau tema untuk blog anda? Di sini saya dedahkan 6 tip.

  1. Tulis sesuatu yang anda minati atau ghairah
  2. Pilih tema yang anda mempunyai pengetahuan tentangnya
  3. Mempertimbangkan tahap populariti tema 
  4. Pilih tema yang berpotensi untuk bertahan lama
  5. Pilih tema yang umum tetapi diberi lonjakan
  6. Pilih tema yang ada potensi pendapatan

 

 

1. Tulis sesuatu yang anda minati atau ghairah

Sekiranya anda tulis sesuatu yang tidak anda minati, ia tidak akan mengambil masa yang lama sebelum anda menjadi bosan kerana ketandusan idea menulis. Menulis sekadar untuk memenuhi blog anda tidak akan menjadi kerana pembaca blog akan dapat tahu jika anda menulis sekadar melepas batuk di tangga atau anda memang sendiri ghairah dalam bidang itu. Mereka dapat merasanya.

 

Jadi janganlah menulis kerana sesuatu topik itu popular, apa yang utama sekali adalah sekiranya anda rasa anda boleh menulis untuk topik itu dalam jangka masa yang lama mungkin berbulan atau bertahun dan ia tetap menyeronokkan anda, maka teruskan dengan topik itu, jika tidak lebih baik beralih kepada sesuatu yang memang anda suka untuk membuatnya tanpa rasa beban, atau bosan. Ini menentukan kejayaan anda.

 

2. Pilih tema yang anda mempunyai pengetahuan tentangnya.

Jika anda mempunyai isi blog yang menarik, trafik kepada blog anda akan bertambah. Itu saja. Untuk ini anda perlu pastikan anda mempunyai idea yang berterusan untuk menulis setiap hari atau minggu maka di sini anda memerlukan sumber menarik yang tidak putus sebagai rujukan anda bagi meneruskan isi blog anda.

 

Sebab itulah tip pertama tadi penting, iaitu minat anda dalam topik yang anda bawa dalam blog. Ini kerana dengan minat yang semula jadi tadi akan terus mendorong anda untuk berkongsi serta terus menulis, kerana secara peribadi anda sendiri yang akan mendapat manfaat dari perkongsian anda itu. Jika tidak blog anda akan mati kerana tidak ada pengisian yang baru.

 

3. Mempertimbangkan tahap populariti tema

Memilih tema yang popular itu penting, tetapi jika ianya terlalu popular dikhuatiri blog anda akan tenggelam dalam google pula. Kerana jika anda masuk dalam tema atau topik yang TERLALU popular seperti teknologi, membuat blog, gajet atau membuat duit contohnya, anda bakal bersaing dengan website majalah atau syarikat teknologi. Ini tidak termasuk lagi dengan sekumpulan blog yang membincangkan topik yang sama.

 

Saya bukan nak lemahkan semangat anda, tetapi tidak juga menjadi masalah jika anda nak masuk juga dalam topik yang teramat popular sebegini asalkan anda menawarkan sesuatu yang amat bernilai yang tidak ditawarkan oleh pesaing anda yang lain, anda kenalah usaha lebih sedikit dan lebih kreatif, ruang untuk menang dalam persaingan itu tetap ada tapi kena ada cara. Itulah sebabnya penting minat anda dalam topik yang anda pilih tadi, ia akan memastikan anda terus merempuh ombak dengan senang hati tanpa ada rasa untuk mengalah. Anda perlu ingat kita bukan sebenarnya nak wujudkan persaingan di kalangan blogger, tetapi kita nak wujudkan komuniti.

 

Manakala, ianya lebih mudah untuk anda masuk dalam topik yang tidak terlalu popular tetapi sekadar mempunyai minat pasaran yang luas. Ini kerana jika anda buka satu topik tetapi ianya tidak mempunyai audien yang cukup besar maka blog anda pun akan lambat untuk berkembang. Topik yang kurang pasarannya bermaksud akan kurang jugalah trafik pelawat blognya. Carilah tema atau topik yang cukup popular tetapi tidaklah terlalu popular tetapi masih mampu memberi respons yang memuaskan ( samada dari penglibatan pelawat ataupun pendapatan )

 

4. Pilih tema yang berpotensi untuk bertahan lama

Tiada gunanya jika anda buat satu tema atau topik blog anda tetapi pada tahun hadapan tiada lagi yang minat untuk membincangkan tentang topik itu. Anda perlu pastikan topik yang anda pilih untuk blog itu pasaran atau peminatnya sentiasa ada ( evergreen ). Topik yang tidak ditelan masa akan terus memberi manfaat kepada audiens pada masa hadapan.

 

5. Pilih tema yang umum tetapi diberi lonjakan

Jikalah anda ingin masuk kepada tema yang umum, anda perlulah membuat sedikit lonjakan paradigma yang membezakan anda dari  blogger yang lain. Masuk topik dalam aspek yang berbeza atau anda boleh fokus dalam kumpulan yang lebih spesifik.

 

Sebagai contoh anda buat topik bincang tentang gajet, anda boleh menambah nilai dengan memberi lonjakan istimewa seperti kongsi tentang tip, tricks, rahsia atau cara-cara untuk pengendalian sesuatu gajet atau bagaimana gajet itu boleh digunakan oleh orang yang kurang upaya serta membuat ulasan secara video tentang gajet tersebut – di sini anda memerlukan kreativiti yang extra sedikit 🙂

 

6. Pilih tema yang ada potensi pendapatan

Ini mungkin tidak relevan untuk sesetengah orang, tetapi jika anda bercadang untuk buat duit dari blog anda maka anda perlu pastikan tema atau topik yang anda pilih mempunyai ruang untuk menjana pendapatan. Dengan blog kita ada beberapa saluran yang lazim digunakan oleh blogger untuk mendapat pendapatan pasif dari blog mereka. Ini samada melalui program affiliate atau melalui iklan Adsense ( banyak lagi dalam topik yang khusus tentang saluran pendapatan melalui blog )

 

Jadi sebelum itu apa yang penting sekarang adalah anda perlu tahu rahsia untuk menulis yang akan membantu anda untuk tidak ketandusan idea serta jus kreatif terus mengalir dari “kotak” anda itu terus ke blog anda… 😉

About mhhafeez

Mohamad Hafeez merupakan pengasas blog gayahidupinternet.com. Kepakaran beliau adalah menyediakan modul serta sistem yang mudah untuk pengguna Internet memiliki bisnes online.
Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *